Pengurusnya, Rushuhaimin Ab Rahman, memaklumkan keadaan Intan stabil, manakala suaminya, Rosman Yahil, 56, masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum dipindahkan ke wad biasa hujung minggu ini.
“Alhamdulillah, kedua-duanya menunjukkan perkembangan positif terutama Rosman yang terus bertanyakan keadaan isterinya sebaik sedar daripada pembedahan, kelmarin.
“Walaupun masih memerlukan pemantauan rapi, dia sudah menampakkan perubahan positif. Intan dan suami mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan mereka untuk merealisasikan prosedur pemindahan itu,” katanya kepada BH Online.
Rushuhaimin juga berkata, semangat yang ditunjukkan pasangan suami isteri itu sangat luar biasa, malah memberi inspirasi kepada orang lain supaya jangan takut menjadi penderma organ.
“Kasih sayang antara mereka cukup kuat. Ketika menziarahi mereka beberapa jam selepas pembedahan, Rosman yang baru sedar terus bertanyakan keadaan Intan dan meminta saya menjenguknya.
“Permintaannya itu membuatkan hati saya tersentuh, malah ramai yang mengakui kekuatan mereka memberi semangat luar biasa kepada orang lain,” katanya.
Terdahulu, penyanyi popular era 1980-an itu memaklumkan, dia bersedia mendermakan buah pinggangnya kepada suami yang mengalami masalah kegagalan organ akibat kencing tikus.
Rosman yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi terkawal menghidap jangkitan kencing tikus dan merebak ke bahagian buah pinggang hingga ia gagal berfungsi sejak tiga bulan lalu.
Keadaan kesihatan suaminya yang merosot secara mendadak mendorong Intan untuk melakukan pemeriksaan bagi mendermakan satu daripada buah pinggangnya.
Intan yang popular dengan lagu Berpaut Di Dahan Cinta menjalani pembedahan itu di sebuah pusat perubatan di Jalan Tun Razak, di sini, Sabtu lalu.
Sumber :BH Online