KUALA LUMPUR: Tiada yang datang percuma dalam hidup ini dan ada ketika, populariti yang mula diraih terpaksa dibayar dengan harga paling mahal.

Bagi bintang remaja, Masya Masyitah atau nama sebenarnya, Siti Nurmasyitah Mohd Yusoff, membaca pelbagai komen netizen yang menghentam gara-gara pakaian yang digayakan ketika menghadiri sebuah acara cukup mengguris perasaan.

Penyanyi Mawar Terbiar berusia 18 tahun itu berkata, dia terkilan apabila caranya berpakaian menjadi tular, sedangkan persalinan yang digayakan tidak keterlaluan.

“Ada yang mengatakan saya memakai seluar ketat, sedangkan sebenarnya tidak. Saya akui, mungkin tersilap dalam memilih pakaian.

“Tipu jika saya tidak sedih membaca pelbagai komen ditinggalkan netizen. Disebabkan tidak mahu saya tertekan, ibu melarang saya membaca komen yang menjatuhkan di laman sosial.

“Saya terima apa yang berlaku itu sebagai pengajaran kerana jika tidak mengambil tahu, saya mungkin tidak sedar kesilapan yang dilakukan. Saya berjanji tidak akan mengulangi kesilapan yang sama,” katanya.

Masya bagaimanapun, menegaskan emosinya tidak terjejas kerana sedar, dugaan dan ujian adalah permainan yang perlu dilalui selebriti.

Tambahan pula apabila namanya semakin dikenali, Masya sentiasa mengingatkan diri supaya lebih bersedia menghadapi apa juga cabaran pada masa akan datang.

Di sebalik dugaan itu, Masya berterima kasih kepada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 kerana membantu menaikkan namanya apabila diberi kesempatan bergandingan dengan Sufian Suhaimi pada malam kemuncak, 7 Oktober lalu.

Tanpa peluang itu, katanya, belum tentu namanya dikenali hingga ada netizen yang sanggup berdebat mengenai cara pemakaiannya.

Masya akur, kemunculannya itu sedikit sebanyak membuka mata umum terhadap bakatnya.

“Persembahan saya pada malam kemuncak ABPBH 31, baru-baru ini memberi impak yang baik untuk kerjaya. Tidak hanya pengikut di laman sosial bertambah kira-kira 100,000 orang, malah saya juga mendapat kepercayaan untuk menjayakan pelbagai persembahan.

“Terima kasih kepada ABPBH 31 kerana memberi kepercayaan besar ini. Bukan semua artis muda diberikan peluang keemasan seperti itu,” kata juara program Ceria Popstar musim kedua itu.

Dalam perkembangan lain, Masya juga sudah boleh menarik nafas lega apabila single terbarunya, Halimunan, ciptaan Omar K, Blaine Bakri dan John Jeevasingham turut diterima peminat.

Sejak dikongsi di laman YouTube pada 5 Oktober lalu, video muzik lagu itu sudah mencecah hampir 700,000 tontonan.

Sumber :BH Online